Wednesday, June 10, 2009

Manek Urai: Ujian pertama untuk Mustapha

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/28933-manek-urai-ujian-pertama-untuk-mustapha
Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, Jun 8 — Seluruh Umno bahagian di Kelantan dikerah untuk menjadi jentera parti itu bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

Barisan Nasional (BN) akan gempur secara habis-habisan DUN Manek Urai bagi memastikan kejayaan parti pada PRK berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mustapha Mohamed, mengingatkan jentera parti bahawa matlamat BN ialah ikhlas untuk membela rakyat.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyeru seluruh ahli parti bekerja kuat menyampaikan mesej ikhlas perjuangan Umno.

Mustapha dilantik semula menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan baru-baru ini selepas jawatannya diambil alih oloeh Datuk Annuar Musa selepas gagal dalam usahanya merampas Kelantan dalam pilihan raya 2004 lalu.

Beliau dilantik semula selepas Annuar terbukti lebih gagal dari beliau dalam pilihan raya 2008. Pilihan raya kecil Manek Urai adalah ujian pertama untuk Mustapha.

Semasa merasmikan Majlis Mesra dan Perasmian Berkelompok Persidangan cawangan 2009 Umno Bahagian Tanah Merah beliau bertekad menawan balik Kelantan dari kerajaan PAS.

“Kita perlu mendekati rakyat dan tawan balik Kelantan kerana rakyat sudah bosan dengan pentadbiran kerajaan PAS yang tidak memberi banyak kemudahan kepada rakyat sejak hampir 20 tahun,” katanya.

Sementara itu Naib Ketua Pergeraka Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim mahu memperkenalkan strategi 4M bagi memantapkan jentera BN.

Kamilia berharap 4M yang bererti mengesan pengundi, memahami pengundi, mendekati pengundi dan menawan pengundi, berkesan membantu menambahbaikan struktur jentera parti sempena menghadapi PRK yang dijangka sengit.

"Strategi baru ini untuk penambahbaikkan tugas sedia ada dan memantapkan lagi jentera berhadapan dengan pilihan raya dijangka menyaksikan persaingan sengit.

“Dan diharap, semua dapat berganding bahu menjayakannya di bawah satu nama iaitu Barisan Nasional (BN) tanpa prejudis. Jangan timbul soal nama siapa yang naik. Sebab semuanya di bawah naungan Perdana Menteri kita,” jelasnya.

Manakala, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman, menyaran supaya di kalangan ahli parti itu disemai semangat kesetiaan dalam usaha menjayakan perjuangan parti tanpa mengira siapa akan dicalonkan pada PRK tersebut.

Beliau meminta rakyat di kawasan Manek Urai tidak menolak segala peluang kemudahan disediakan oleh kerajaan pusat menerusi agendanya.

"Walaupun tidak mempunyai kuasa majoriti dalam sidang DUN dengan kemenangan di Manek Urai, tetapi masyarakatnya akan mendapat kelebihan berbanding kawasan lain kerana kawasan di bawah naungan BN akan mendapat perhatian dan imbuhan yang lebih," katanya.

Pergerakan Puteri Umno Kelantan juga telah menyatakan hasratnya untuk sama-sama bergerak aktif menggemblingkan tenaga bersama jentera-jentera lain demi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno dan BN.

Norwahida yang baru dilantik menerajui Pergerakan Puteri Umno Kelantan berkata, tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan pergerakan ini sentiasa menjadi sayap berkesan dalam parti.

No comments:

Post a Comment